Pengikut Awan

Monday, October 31, 2011

Satu Kesan Abadi...

Di kesempatan ini, Penjejak Awan ingin mengucapkan tahniah kepada salah seorang kultus Awan kerana memperoleh cahaya mata yang pertama di negara orang. Rasanya tidaklah terlewat sangat ucapan ini. Semoga dengan kehadiran orang baru akan menambahkan lagi kasih sayang antara mereka berdua. Syukur alhamdulillah dan Penjejak Awan mendoakan mereka tabah mengurus cahaya mata di negara orang. Anak adalah tanggungjawab dan amanah. Penjejak Awan bukanlah insan yang terbaik, iman pun setebal kulit bawang cuma, hanyalah serangga kecil di hutan belantara, setitik dakwat hitam yang tak mampu menggelapkan lautan dalam dunia, cuma mampu mengirimkan renungan...
Siapalah Penjejak Awan untuk mengajar orang lain...

Dan sebagai bapa baru, dinasihati juga agar sahabatku disana...

Janganlah mendukung anak sebegini walaupun ada banyak haversack kat rumah tu...

Janganlah dipaksa baby tu senyum hanya semata-mata inginkan dapatkan foto menarik untuk di post dalam facebook...

Janganlah cuba mengorek hidungnya dengan jari, kelak lubang hidungnya akan menjadi pujaan jejaka Malaya...

Bacakanlah Hikayat Sang Kancil atau apa sahaja cerita rakyat kepada baby dan bukannya dedahkan dengan Disney's Channel berlebih-lebihan...

Dan kalau sayang anak sekalipun, tanggungjawab isteri, biarlah isteri yang lakukan, engkau buatlah kerja-kerja kedutaan tuu....

p/s: Kat Amerika ada ker jual spring buai? Enjut baby dengan kain batik kat Turtle Park...

Saturday, October 29, 2011

Manalah Ku Tahu...

Ngeteh...

Istilah yang sangat typical dengan orang kita. Ianya lebih tepat untuk digunakan setelah seharian berpenat lelah ditempat kerja yang penuh dengan segala tekanan (dan mungkin juga maki hamunan!!!). Golongan muda terutama lelaki bujang (majoritinya) kerap menghabiskan waktu petangnya dengan aktiviti mengeteh ini. Tak ketinggalan juga yang telah berkahwin, yang mana air tangan mamak itu lebih lazat berbanding yang ada di rumah. Tak semestinya restoran mamak, mana-mana kopitiam atau gerai tepi jalan pun boleh diguna-pakai untuk aktiviti mengeteh ini.

Sebut mengenai tempat mengeteh ini, tatkala ini, kopitiam tumbuh bak cendawan di sana-sini. Tak perlulah disebutkan nama-namanya di sini kerana semua golongan dari anak kecil hingga yang tua tentu mengenalinya. Tempat-tempat sebegini lazimnya akan menyediakan makanan ringkas untuk pelanggannya. Kebiasaannya seperti roti bakar dan roti setengah masak, disamping menu-menu lain samada western food atau mee tempatan. Sementara menjamah hidangan beserta segelas teh tarik ataupun ais, geng ngeteh ini akan bercerita bersama, berborak, mengutuk boss masing-masing, meluahkan masalah dan ada juga yang buat business (MLM?).

Panjang lebar pulak intro tentang ngeteh ini. Sebenarnya tercetus ilham untuk mendeklamasikan entri hari ini ialah apabila Penjejak Awan perasan sesuatu yang diambil mudah oleh sesetengah restoran atau port ngeteh ini. Terkenang beberapa bulan dulu, apabila menu yang dihidang oleh sebuah kopitiam, dikesan mempunyai unsur Sus scrofa domesticus didalam roti dan kopinya. Jujurnya, dah berkandang dah dalam perut Penjejak Awan nie...hampeh, ptuiii...!!! Tak kanlah kena teguk air tujuh tanah nak membersihkan isi perut ni. Dengar cerita, orang yang kerja kat pejabat agama pun rajin menyinggah kat situ sejak berpuluh tahun dahulu. Semuanya kerana sikap ambil mudah (termasuk diri aku sendiri). Tetapi selepas tragedi ini, ambil pengajaran daripadanya...U-turn semula dan amal pemilihan makanan yang betul. Pilih kedai yang betul...atau, masak jer sendiri. Tonton Master Chef Malaysia, dan buat signature dish sendiri...

Apa yang dah berlaku, biarkan berlalu. Selepas kes tersebut, orang kita beralih port ke restoran yang diyakini tiada unsur-unsur Sus scrofa domesticus dalam resipinya. Kita punya mata untuk melihat. Jangan sesekali hanya gunakan lidah dan perut semata-mata. Lihat dahulu, kemudian barulah fikirkan tentang nafsu.(nafsu makan)

Tetapi, apa yang menghairankan adalah sikap ambil mudah orang kita. Buka kopitiam itu sudah kira bagus. Perniagaan yang menguntungkan jika benar-benar melaksanakannya dengan landasan yang benar. Kelmarin, sedang Penjejak Awan menghirup telur setengah masak dicampur kicap masin dan sedikit pepper, baru terperasan, walau sahih ini kedai milik orang kita, siap digantung bingkai ayat kursi di dinding, tetapi dimanakah logo Halal? Adakah kerana taukey dan pekerja itu muslim, maka secara automatiknya Halal itu sudah dijamin? Bukanlah Penjejak Awan ingin menjadi stereotype (meremeh-remehkan perniagaan orang kita) tidak sesekali...bahkan bangga kerana mereka mampu membuka perniagaan sebegitu. Tetapi, bukankah lebih molek jika orang kita mengambil inisiatif sedemikian. Ada sebuah francais berasaskan ayam goreng milik orang kita di daerah ini, dianggap alternatif kepada restoran ayam terkemuka seluruh dunia, tetapi sebelum kita masuk dan melihat cermin pintunya, tiada ditampal logo yang dikeluarkan Jakim. Penjejak awan tak mahulah pengunjung blog ini secara tiba-tiba merasa was-was terhadap francais tersebut, tetapi sepertimana yang dikatakan sebentar tadi, bukankah lebih molek...

Harap, kedai-kedai dan gerai-gerai juga mengambil inisiatif sedemikian rupa, supaya tampak lebih profesional dan lebih up-to-date. Itu belum lagi jika kita berbicara tentang kesihatan penyedia makanan. Adakah anda tahu penyedia makanan perlu mendapatkan suntikan thyphoid? "Suntikan tu perlu untuk penyedia makanan di kantin sekolah lerr...". Yup...ramai akan berkata begitu, tetapi adakah salah jika penyedia makanan di gerai tepi jalan mengambilnya seterusnya berbangga mempamerkan sijil tersebut di premis masing-masing?

p/s: Sindrom Tak Apaa..."Benda remeh-temeh macam nie pun nak kecoh...kalau nak makan ko makan, kalau tak, ko boleh belah laa Awan. Tak semestinya ada logo tu dah dikira 100% halal, tak semestinya barang yang ada cop Sirim itu tak meletup"


Thursday, October 20, 2011

Satu Lilin Sehening Malam...

Salam pengunjung awan,

Diceritakan bahawa suatu ketika Khalifah Umar bin Abdul Aziz sedang berada di pejabat untuk kerja urusan kerajaan. Keadaan diruangan pejabat sangat gelap sehingga terpaksa memasang lampu pelita. Seseorang datang dan masuk pejabat Khalifah setelah diizinkan. Tiba-tiba Umar memadamkan api pelita itu, maka beliau bercakap dengan tamunya dalam keadaan gelap, membuat orang lain keheranan.

“Mengapa Amirul Mukminin melayani tamu dalam keadaan gelap?” tanya seorang pegawai Khalifah.

“Yang datang tadi itu adalah keluargaku. Dia datang kepadaku karena ada urusan peribadi, sedangkan lampu pelita adalah milik negara. Oleh sebab itu, ketika aku berbicara masalah peribadi, aku padamkan lampu tersebut kerena aku tidak mahu menggunakan harta negara.” kata Umar bin Abdul Aziz.

Fuhh...

Sepatutnya cerita-cerita beginilah yang ke udara dalam siaran tv 'Fuhh...' Bukannya cerita-cerita merapu. Apa yang ada dalam beg artis pun kita perlu ambik tahu. Apalah salahnya diterlanjurkan slot kepada apa yang ada dalam baju atau anak baju atau anak seluar...

Kisah diatas adalah untuk semua. Tidak hanya kepada yang berpangkat besar malah kepada pangkat kecil. Tidak kira samada pemimpin, timbalan pemimpin, pengarah, timbalan pengarah, pengurus, penolong pengurus, eksekutif, malah tukang kebun sekalipun.

Apa sahaja milik jabatan atau syarikat adalah khusus untuk jabatan atau syarikat. Walau sebilah parang sekalipun. Hatta pensil kontot dan pemadam yang telah haus. Jika semuanya tercatit dalam akaun syarikat, ia bukan harta kita. Ia bukan milik kita...dan bukan harta bapak kita (melain syarikat atau jabatan atau negara ini memang dimiliki oleh anak beranak, maka itu cerita lain).

Jangan hanya bertempik menyalahkan orang-orang besar yang menyalahgunakan harta, sedangkan kita sendiri menggunakan laptop milik jabatan atau syarikat untuk berFarm Ville atau berchating dengan warga Nigeria!!!


Dan apa hukumnya menggunakan barang orang tanpa kebenaran, tanpa izin atau tanpa restu pemiliknya? Bolehkah kita labelkan ia sebagai barang curi? Bila bab makan, kita begitu sibuk tentang isu halal dan haram, tetapi bila bab 'harta curi' kita pandang sebelah mata, saling tak tumpah seperti seorang lanun (yang tertutup sebelah matanya).

Janganlah hanya apabila Sambutan Maulidur Rasul kita terkais-kais mencari kisah-kisah dan sifat-sifat rasul serta khalifah-khalifahnya. Sedang baki 363 hari lagi kita lupa tentang ajaran dan sifat-sifat baik baginda dan sahabat-sahabat. Logo Halal sahaja tidak cukup untuk memastikan darah yang mengalir dalam tubuh kita, anak kita dan bini serta bini-bini adalah suci dari najis dan bangkai. Kekadang, terlihat sebuah keluarga yang amat bahagia, keluar makan malam bersama-sama anak-anaknya, isterinya dan ibu mertuanya yang telah bergelar Hajjah, ke restoran mewah yang tidak diragui kehalalannya, akan tetapi, menaiki kenderaan milik syarikat...yang jelas tertulis di pintu kanan dan kiri....

p/s: Senyum...tak perlu kata apa-apa...Senyum...tak perlu kata apa-apa...Senyum...tak perlu kata apa-apa...Senyum...tak perlu kata apa-apa...Senyum...tak perlu kata apa-apa...

Wednesday, October 12, 2011

Kenapa ada benci Pantai Timur...

Salam sejahtera semua di awan dan awan-awanan...

Pagi yang agak cerah hari ini, ingatkan hujan akan turun. Terlupa pulak nak menyiram pokok cili dan sayur bayam merah yang ditanam...ahhh...petang nantilah baru siram. Bukanlah berhektar pun apatah lagi ekar...setakat besar kucing melompat.

Terbaca akhbar tentang tangkapan ke atas bekas artis yang beralih arah kepada berdakwah. Terasa jugak hati, terbaca jugak komen-komen samada positif atau negatif di sesawang yang lain. Penjejak Awan pun terfikir dengan ilmu yang sangat cetek ini "Apakah blogger yang membina blog berunsur dakwah juga perlu mengambil lesen?". Entahlah...dalam pada itu, aku terpandang salah satu komen "Kalau nak berdakwah, pergilah Kelantan..." Amat dangkal sekali komen tersebut...

Buka suratkhabar muka belakang. 5 kad merah dalam satu game. Perlawanan suku akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Kelantan. Terpadam sudah ingatan masyarakat sukan ke atas kad merah yang diterima Wayne Rooney baru-baru ini. Tak dapat bola, kaki pulak dia pangkah. Pergi main ragbi laa wei...eh...Ragbi England pun dah kecundang dengan team cap ayam (Perancis)...hmmm. Jadi kenapa tidak membenci Rooney dan rakan sekelabnya? Kenapa pulak nak menyalahkan Cik Siti Wan Kembang?

Apa kena mengenanya dengan tajuk di atas? Baca sampai habis terlebih dahulu...Jangan jadi sesetengah orang di kedai kopi. Baca tajuk akhbar (tajuk sahaja!!!) laju jer mengulas macam peluru mesingan.

Kita balik sebentar kezaman dahulu semasa penjajah Inggeris berada di Tanah Melayu. Kaji dan selidik. Pada masa itu ada satu dasar yang diamalkan dengan nama 'pecah dan perintah'. Dasar ini telah didapati berjaya dilaksanakan oleh Inggeris ketika itu untuk memerintah Tanah Melayu. Secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain.

Faham atau tidak, kita sebenarnya tidak dapat mengawal apa yang berlaku disekeliling kita. Perasan atau tidak, ada 'tangan-tangan' yang 'mengawal' apa yang patut berlaku seperti mana jari-jari yang menaip di atas keyboard. Kalau anda adalah spacebar, maka jadilah spacebar sampai bila-bila.(Dan anda terkenal kerana tugas anda menjarakkan huruf-huruf kerana itulah sifat anda...seorang spacebar!!!)


Itulah sebenar yang dimahukan oleh penjajah dahulu dan kini. Berpecah sesama sendiri. Samada kita nak faham atau faham buat-buat tak faham.

Awan, Badai dan Arus adalah satu.

"Ikan emas di dalam kolam melompat menjadi naga bila awan dan badai bersatu..."

Tetapi oleh kerana...

"Naga Terkandas Di Air Yang Dangkal Apabila Badai Bertemu Dengan Awan..."

...maka, untuk memastikan kuasa tetap dalam genggaman, maka Awan, Badai dan Arus perlu dilaga-lagakan. Dalam cerita ada pengajaran dan muslihatnya...itulah makna yang tersirat.

Sekarang lihatlah sendiri hasilnya. Kau dan aku bukannya satu...kau kau dan aku aku. 'Tangan-tangan' yang telah berjaya mengoyak jahanamkam institusi kemasyarakatan dan ukhuwah kita.

Wahai manusia yang percayakan tuhan dan rasul-Nya...betapa putih pun engkau, betapa hitam pun engkau, nabi tak pernah tanya, tuhan tak pernah beza. Kita semua berasal dari manusia pertama yang dijadikan tuhan di muka bumi ini. Itu asal kita. Dari zuriat yang sama. Jangan terlalu ekstrem dengan dinasor dan nama-namanya. Ianya sekadar fiksyen. Kerana apa mereka beria-ia berbicara tentang dinasor dan kewujudannya? Supaya kita lupa sejenak tentang Adam. Dan kita obses dengan dinasor dan kepening-peningan memikirkan manusia yang hidup pada zaman itu tidak berbaju. Apakah Adam yang diturunkan Tuhan ke muka bumi ini tidak berakal langsung dan membiakkan manusia-manusia selepas itu yang tidak tahu menahu langsung tentang alam ini? Itulah sejarah manusia yang telah disapu dibawah karpet oleh sejarawan barat. Ditutup dari diketahui. Maka diganti dengan mencungkil pulak asal usul dinasor. 

Kerana apa kita suka membeza-beza? Kerana orang yang bijak pandai dahulu kala telah pelajari kelemahan orang kita di sini...ketara sangat-sangat...rasa besar diri tetapi hakikatnya suka berpecah-pecah, hasad, dengki, santau meyantau...memang saling tak tumpah seperti button spacebar kat keyboard anda sekalian...lebih panjang dari button-button lain tetapi bila ditekan tak keluar huruf (takder faedah?) dan tugasnya tak lain hanya untuk menjarakkan huruf-huruf (menjarakkan diri?)

Maka bergelak ketawalah pemilik 'tangan-tangan' itu...senanglah nak perintah setelah dipecah-pecah...maka kekallah kita dalam SATU negara yang ada EMPAT BELAS buah negeri. Nampak??? Kita masih bersempadan antara kita. 

Orang yang berasal dari mana pun tak jahat. Cuma kita terlalu hear say. Dan kerana telah berkumpul dalam kepala sejak kecil agaknya, maka kita cepat melabel orang dari sesetengah negeri tak betul. Yang aku nampak, orang sesetengah negeri itu melengkapi antara satu sama lain. Kalau tak der laa mek-mek dan abe-abe nie, mana laa Penjejak Awan nak mengisi perut ni? Nasi Padprik merupakan makanan asasi buat Penjejak Awan sejak lama dulu. Nasinya siap ada ayam dan sayur. Complete set. Cuma mintak sup kosong lebihkan bawang. Makan padprik kedai orang belah sini (belah selatan)? Ikhlas tanpa berlapik Penjejak Awan cakap...Tak Sedap!!!

Terima kasih mek-mek dan abe-abe weh...comey!!!(bunyiknya mungkin pelat sikit, sebab aku orang Jawa). Dan orang pernah 'tendang' aku, hanya kerna kejawaan yang ada dalam darah aku ini...tapi aku tak pernah menyesal dilahirkan Jawa!!!

Ini namanya kuih Cek Mek Molek...


p/s: Kenapa laa masih nak menyokong Red Devil tu...sudah terang-terangan ianya Syaitan Merah.  Red Warrior (Pahlawan Merah) dan Red Giant (Gergasi Merah) kan molek?. Serupa jugaklah dengan Johor FC...yang jugak Jengking berwarna merah...(merah ker?...entah?)

Thursday, October 6, 2011

Yang terindah hanya sementara...

Hujan pulak petang-petang begini. Syukur alhamdulillah. Hujan itu rahmat. Jangan pulak ada yang berdecit-decit mulutnya "Chitt...hujaaaan jer...", "Orang nak keluar nie hujan pulak...chitt"

Yup...selalu pulak kita nie jadi pelupa. Kalau semalam panas terik...berdecit-decit pulak mengomel mulut tu "Haisss...panas betul!!!" sambil mengibas-ngibaskan kolar baju. Hmm...macam itulah umat manusia nih.

Belek-belek sesawang, melihat-lihat sekeliling. Terfikir, dimanakah letaknya skala agama itu dalam kehidupan kita sekarang?.

Kita telahpun mengetahui dan membaca tentang tanda-tanda kiamat kecil itu dimana-mana, jadi tak perlulah Penjejak Awan huraikan di sini (kecuali mereka yang betul-betul malas membaca apa sahaja perkara yang berkait dengan agama).

Penjejak Awan cuma ingin menyentuh tentang satu perkara sahaja dan perkara ini pernah jugak ditulis dalam entri DI SINI iaitu mengenai ayat-ayat atau kalimah-kalimah atau perkataan-perkataan yang boleh kita letakkan sebagai milik Tuhan Maha Pencipta. Kerana dengan kehendak-Nya perkataan itu wujud, kerana dengan kitabnya kalimah itu disebut. Dan ia bukan diciptakan secara suka-suka. Ingat, jika kita berkata "Aku orang Islam" maka jadilah Muslimin. Jika amalan dan kepercayaan kepada agama itu separuh-separuh maka ibaratnya anda belajar separuh semester sahaja di universiti dah boleh mendabik dada mengatakan yang anda memiliki segulung ijazah...

Petang semalam, sewaktu mengeteh dengan orang-orang kampung, timbul isu tentang pembinaan masjid (yang dah 2 tahun tak siap-siap kerana penyelewengan). Aku tak nak menyentuh lagi isu penyelewengan tersebut. Tapi tertarik dengan kemarahan penduduk kampung apabila mereka tidak berpuashati apabila pihak terbabit mengupah orang yang tak sepatutnya menggantung kalimah-kalimah perhiasan dalam mesjid. Mereka mempersoalkan orang-orang itu entah-entah baru sahaja minum arak atau makan daging yang diharamkan agama tetapi diberi mandat memasang kalimah suci.

Adakah kalian bersetuju dengan penduduk kampung atau di benak fikiran anda berkata "Apa salahnya kalau orang bukan muslim memasangnya"? Correct! Memang tak salah pun kalau sesiapa sahaja memegangnya atau memasangnya. Setakat pegang dan paku ke dinding. Tapi, siapakah majoriti penduduk kampung tersebut? Kalau didirikan mesjid dalam sesebuah kampung, maknanya ramai jugalah makmumnya...betul tak?

Yup...terpandang-pandang juga Penjejak Awan kepada perkara seharian yang kita tatap. Televisyen...dan cerita-cerita didalamnya. Pernah tonton (atau sekurang-kurangnya terdengar) dengan tajuk drama 'Antara Maghrib dan Isyak', 'Tahajud Cinta', 'Antara Safa dan Marwah' dan pelbagai lagi tajuk seumpamanya. Pelik bukan? Cerita 'Antara Maghrib dan Isyak' tu genrenya komedi pulak tu. Apa perasaan kita? Tiada perasaan...itu cuma tajuk. Apa nak dibesar-besarkan...


Ya...cuma tajuk. Tapi kalimah apakah yang dipakai? Memanglah Maghrib dan Isyak hanya menunjukkan waktu. Tetapi ia berkait dengan tiang agama. Nabi (kalau masih percayakan Nabi) menamakan solat-solat itu dengan nama Solat Subuh, Solat Zohor, Solat Asar, Solat Maghrib dan Solat Isyak. Dan masa-masa yang disebut tadi ada dalam niat yang menjadi rukun sembahyang. Tak terfikirkah kita andainya lafaz niat itu perlu menyebut waktu dalam bahasa arab? Jika asar itu pukul 4.30 petang apakah bunyi 4.30 petang itu dalam bahasa arab? Toing...toing...toing...siapa yang tak tahu bahasa arab memang pening laa...

Tinggi letaknya kalimah-kalimah yang diciptakan oleh Tuhan yang Maha Agung itu. Janganlah 'disepah-sepahkan' sesuka hati. Kita lihatlah senario berikut ini pula. Kebiasaannya, apabila kita mengadakan kenduri bacaan tahlil, kita sering mengungkapkannya sebegini; "Majlis start lepas Isyak yer". Maknanya, majlis tersebut sebenarnya bermula lebih kurang jam 8.30 malam. Dan jika majlis party atau konsert, kita akan menyebutnya: "Konsert Rock akan bermula jam 8.30 malam". Nampak???...masa yang sama, tetapi kita reti meletakkan kemuliaan majlis itu ditahap tersendiri. Kalaulah diadakan Konsert Justin Bieber di Bukit Jalil dengan promo tertulis "Konsert Selepas Isyak" maka akan kena hempuklah penganjur tersebut!!!

Jadi...apabila kalimah-kalimah yang dianggap suci dalam agama, wajarlah diletakkan ditempat yang sepatutnya. Janganlah sewenang-wenangnya digunakan hanya kerana kepentingan diri sendiri. Lagi teruk, jika kalimah-kalimah azan itu dijadikan skrip dalam cerita lawak dengan wanitanya tak bertudung dan sebagainya. Bercampur-campur antara yang baik dengan yang tak baik, ibarat nasi sepinggan dicampur dengan sebijik (sebijik sahaja!!!) tahi hidung, maka tak ada sesiapa yang sudi memakannya. Tiada sesiapa pun yang waras apabila sendawa ketika mencangkung buang air besar, mengucap 'Alhamdulillah' dengan kuat.

p/s:Kita kena ada pendirian yang tetap dan satu. Kenapa perlu berkobar-kobar marahkan orang lain menghina agama sedangkan kita biarkan orang kita sendiri sedang bermula meletakkan kalimah itu bersepah-sepah disana sini. Itu seperti talam dua muka namaya, depan cakap lain, belakang buat lain...(malas betul nak taip perkataan hipokrit tu!!!)

Wednesday, October 5, 2011

Aku ada 15 minit sahaja lagi....

Salam semua...

Aduh...lama betul tak menghantar nukilan disini. Sibuk sungguh...(termasuklah kerana broadband kena bar sebab delay 2 bulan...padan muka aku). Situasi sekarang kurang mengizinkan setelah keluar dari bekerja dengan bergaji tiap bulan kepada kerja kais pagi makan pagi, kais petang makan malam nie.

Dan...ketika ini ditulis, aku cuma ada 15 minit sahaja lagi untuk online. Kerana mengejar masa.

Kepada mereka di luar sana, hargailah masa walau seminit cuma. Gunakan sebaik-baiknya untuk berfikir menentukan masa depan. Masa depan itu luas...samada berfikir untuk keesokan harinya, minggu depan, bulan depan, tahun depan, sepuluh tahun dari sekarang dan terpenting masa depan dialam kubur dan masa di padang Mahsyar...

Kerana seminit berfikir itu boleh mengubah segala-galanya yang akan berlaku selepas tamat 60 saat tersebut.

Dan yang paling penting...plan your work AND WORK YOUR PLAN!!! Jika keputusan dari fikiran telah diambil, maka laksanakanlah...samada hasilnya itu memperoleh kebaikan atau sebaliknya, maka terimalah. Gagal bukan maknanya bodoh, kecundang bukan bererti kalah. Masih ingatkah lagi apa yang terjadi dengan Puan Siti Nurhaliza dulu??

"What is your recipe of success?", tanya wartawan.

"Ayam masak merah...", jawabnya...

Dan sekarang, beliau sudah ada Simply CT dan album Inggeris!!!

p/s: Pesan Penjejak Awan, "Jangan jadi macam saya, jadilah macam orang lain". Penjejak Awan bukanlah orang yang berjaya seperti orang lain.

Blog Widget by LinkWithin