Salam Tahun Baru (aaarghh...lewat 7 hari dah). Maaf. Penjejak Awan baru 'meneroka' dan 'terjun' ke bidang baru. Bidang yang ber'Tuan'kan diri sendiri. Tanpa belenggu 'irama'. Bertaubat dari alam yang satu lagi...
Lama sudah menyepi. Melihat rupa bumi yang terbentang luas. Mendongak dan melihat langit. Walau kini, awannya banyak yang gelap. Segelap-gelap awan, akan melimpah juga rahmat sekelian alam.
Melihat ke bumi. Memerhati dengan jelas satu penjuru. Sebuah tempat. Yang mana di situ, dikuasai oleh spesis Kancil. Kecil sahaja bentuk rupanya. Tetapi ada kebijaksanaan. Tapi bak kata Kristal 'Dalam seikat daun sirih, mana boleh tak boleh, jumpa sehelai sirih, bertemu urat'. Maka sekalian kancil-kancil yang banyak itu, bukan semuanya pandai. Mesti ada yang pandai sangat, tapi ada jugak yang pandai di segi-segi lain. Mungkin pandai cari makan, pandai kira-kira, pandai bercerita, tak lupa juga yang pandai menipu dan pandai mengampu.
Sungguhpun begitu, kawasan tersebut bukanlah dikuasai oleh kancil-kancil sahaja. Hidup di dalamnya adalah juga spesis lain seperti Singa dan Gajah. Walau bagaimanapun, mereka hidup dalam keadaan yang aman damai. Oh ya...jangan lupa tentang ketentuan alam kerana singa masih haiwan karnivor...ingat tu...
Telah sekian lamanya, kancil-kancil ini menjadi pengendali kawasan yang subur dan makmur itu. Oleh yang demikian juga, maka sudah tentu sifat semulajadi haiwan untuk menguasai sebahagian teritory itu wujud. Lebih besar teritory, maka lebih luaslah peluang mendapat sumber makanan yang banyak. Perut-perut perlu diisi. Isteri-isteri perlu dikahwini. Dan terjadilah beberapa perebutan disana-sini.
Semakin lama, semakin menjadi-jadi. Bukan kancil dengan kancil sahaja, singa dengan singa juga begitu. Gajah dengan gajah juga apa kurangnya. Cuma pergaduhan singa vs singa dan gajah vs gajah ini kurang kedengaran.
Semakin lama, saban hari dan saban tahun. Maka oleh kerana kancil adalah spesis yang bijak, maka masing-masing dengan kebijaksanaan dan kelicikan masing-masing cuba menentang antara satu kumpulan dengan kumpulan yang lain. Kadang-kadang, oleh kerana kelicikan mereka ini, maka ada juga bantuan diterima dari singa dan gajah. Masing-masing dengan kumpulan singa dan gajah masing-masing. Maklumlah, kancil bukanlah ada taring dan tanduk untuk mencederakan kancil yang lain.
Perebutan wilayah semakin hangat. Macam-macam kebijaksanaan. Kalau hendak ditulis dalam siri 'Sang Kancil' ini memang tak larat.
Singa...seperti yang telah ditulis tadi. Adalah karnivor. Payah betul nak jumpa singa-singa nie memamah tebu atau mengopek tembikai atau mengunyah sawi. Mereka ini bersifat gagah berani. Akan tetapi, bila berada di kawasan yang dikuasai oleh kancil, mereka bersifat agak baik...singa makan gak kancil-kancil nie...cuma dalam jumlah yang diperlukan sahaja...hehehe
Gajah...besar,nampak pendiam, agak perlahan. Tapi mereka besar!!! Lebih kuat dari kancil sebenarnya, cuma kurang sikit kadar kekuatannya kalau dibanding dengan singa. Sebab apa? Sebab gajah makan tumbuh-tumbuhan. Tebu, pucuk sawit, daun-daun kayu...semuanya mereka makan. Taklah bahaya sangat. Melainkan kalau mereka ini bergerak beramai-ramai, maka terpijaklah kancil-kancil ini. Bergelimpangan...hehehe
Jauh di sudut padang, dibawah pohon yang rendang, singa-singa ini duduk berehat dan melihat dari jauh kancil-kancil ini menunjukkan kebijaksanaan masing-masing ditengah kawasan lapang.
Di hujung sudut lagi, gajah-gajah ini bersantai dalam lopak menyejukkan badan sambil juga memerhati gelagat kancil-kancil ini.
"Biarlah kancil-kancil tu bercakaran, kalau ada peluang, seekor-seekor kita akan makan, jangan makan semua sekali, nanti anak cucu kita tak ada apa nak dimakan, biarkanlah mereka disitu, menunjukkan kepandaian atau kebodohan...hohohoho" gelak tok ketua singa.
"Biarlah kancil-kancil itu bercakaran, kalau ada peluang, seekor-seekor kita akan pijak, kalau boleh kita pijak semua sekali, nanti anak cucu kita dapat banyak makanan, tak perlu kongsi dengan kancil-kancil tu, biarkanlah mereka disitu, menunjukkan kepandaian atau kebodohan...hong hong hong" gelak kapten gajah.
Kancil-kancil yang mengaku bijak...berterusan mendapatkan wilayah. Singa dan gajah juga yang akan kenyang...
p/s: Ada seekor Helang besar beterbangan diangkasa raya. Memerhati dari atas. Baik si kancil, si singa atau si gajah nie mati, helang pun akan kenyang. Helang-helang ini jugak tau banyak perkara kerana ia berada di altitud yang tinggi. Bodoh betul kancil-kancil nie...bodoh!!!
0 TIUPAN ANGIN KE AWAN:
Post a Comment