Pengikut Awan

Sunday, May 29, 2011

Tiga Satuu....

Ohh...mengantuknya. Yelah tak cukup tidur. Awal pagi seawal jam 2.00 dah bangun. Bangun menyaksikan perlawanan akhir Champions League antara Barcelona menentang Man Utd di Stadium Wembley (walaupun aku sebenarnya menonton di Stadium Astro)

Keputusan perlawanan:



Messi menjaringkan gol. Dua pemain tua MU tak dapat buat apa-apa. Hehehehe...


Saat sejurus tiupan wisel penamat oleh pengadil. Nani tak dapat buat apa-apa. Hehehehe...


Rooney menutup mukanya. Rooney juga tak dapat buat apa-apa. Hehehehehe...


Pep Guardiola dijulang oleh pemain-pemainnya. Sir Alex tak dapat buat apa-apa. Hehehehehe...


Messi menjulang trofi kemenangan disamping Javier Mascherano. MU tak dapat buat apa-apa. Hehehehe...

P/s: Sebelum perlawanan akhir, Barcelona banyak merendah diri...Sedang menanti-nanti statement kekalahan MU adalah sebenarnya silap pengadil

Saturday, May 28, 2011

Tak tumbuh, tak melata...

Lepas seharian bertungkus-lumus bekerja, biasanya orang lelaki akan cuba menghabiskan waktu petangnya samada bersukan atau lepak-lepak mengeteh atau mengopi atau mengeteh-ais...hahahaha...macam-macam istilah yang boleh didengar...

Dua hari yang lalu, aku juga telah melibatkan diri dalam sesi mengeteh ini di kedai berhampiran. Seperti biasalah, sambil minum sambil berborak. Secara kebetulan, hari itu dapat duduk minum bersama dengan seorang towkey kedai makan. Kedai makan yang diusahakannya adalah jenis masakan melayu. Dibuka bermula sarapan pagi hingga makan malam.

Berceritalah dia "Kalau nak tahu, orang kita nie kurang sikit nak bantu usahawan kita sendiri".

"Ada sesetengah customer tak puas hati dengan harga yang kita jual", ceritanya lagi. "Aku tak naik kan harga minuman walaupun harga gula dah naik. Kalau dulu boleh dapat RM30 sehari tapi kerana harga barang naik, aku dapat untung RM20 sehari pun dah kira baik".

"Sebenarnya orang kita tak pernah kira banyak wang yang dia bazirkan untuk peniaga lain"

"Macam mana tu bang?", tanya aku selepas meneguk teh tarik yang beransur sejuk.

"Orang kita nie, kalau hari gaji, perkara pertama pergi makan KFC. Samada belanja anak beranak atau kawan-kawan. KFC atau fast food lain tu bukan milik orang kita, itu syarikat orang putih", ujarnya.


"Kemudian hari kedua atau minggu pertama, pergi makan ke restoran-restoran thai. Harga makanan seafood thai bukannya murah. Tapi bawa anak-beranak dan kawan-kawan makan"

"Sarapan pagi pula lebih banyak makan di kedai-kedai mamak. Kedai mamak tu milik siapa?", nadanya dah semakin meninggi.

"Masuk minggu ketiga barulah nak makan di kedai-kedai orang kita. Bila time bayar, muka mencuka. Komplen harga mahal".

"Sebenarnya bukan mahal harga makanan aku. Sebab utamanya, duit mereka dah sikit. Sebelum nie makan di KFC, McD, tomyam seafood, beriani tak pernah pulak nak komplen harga diaorang tu mahal"

"Dan bila duit dalam dompet dah sikit, makan nasi RM6 pun dah dikatanya mahal kalau nak dibandingkan dengan snack plate atau beriani kambing kedai mamak yang dia orang makan lepas dapat gaji".


Aku mengangguk-angguk mendengar luahan hati pakcik tu. Meneguk lagi teh tarik yang ada baki separuh.

"Lagi satu kau tengok yer", sambungnya "kalau pergi KFC, kita nie sebenarnya macam hamba. Nak tau kenapa aku cakap macam hamba?"

"Ginilah, bila kau pergi KFC, semua kena buat sendiri. Mula-mula masuk beratur, berani tak kalau kau potong line orang kat KFC?"

"Dah siap beratur, dah mintak order, ko bayar. Lepas tu jalan kakilah cari tempat duduk. Ada sesiapa menjerit-jerit dalam KFC mintak sudu atau mintak sos? Tak ada bukan? Tau pulak orang-orang yang makan tu cari sudu garfu kat tempatnya, atau sos. Nak tisu pun terpaksa bangun ambil kat tempat tisu atau kaunter"

"Tapi kat kedai makan orang kita?"

"Sambil angkat tangan jerit-jerit 'SUDU MANA?!!!', 'TISU!!! TISU!!!", suara pakcik dah makin tinggi dan kuat.

Menutup sembang petang itu dia mula merendahkan suaranya.

"Nak tau bila masa kedai aku tak cukup ayam atau tak cukup nasi, cuma sekali jer dalam setahun"

"Bila?", aku bertanya.

"Hari Raya Haji", katanya. "Waktu itulah kita sebagai peniaga nie nampak sokongan orang kita terhadap usahawan orang kita."

"Waktu itu kedai Thai atau Siam nie bercuti panjang, orang kita tak ada pilihan, datanglah ramai-ramai makan kedai kita".

"Itulah setahun sekali..."

P/s:Terpaksalah orang kita menurunkan harga agar barang-barang kedai terjual. Semakin lama, semakin miskin dan akhirnya tutup kedai. Orang kita tak nak beli barang orang kita, dan tak akan beli barang orang kita sampai bila-bila...


Wednesday, May 25, 2011

Gelap pekat melekat...


Lihat, rasa dan dengar...

Penjejak Awan nampak, tiada seorang pun manusia dalam tayangan ini...

Penjejak Awan rasa, ketakutan, kerana ini adalah permulaan hancurnya sebuah peradaban...

Penjejak Awan dengar, bunyi derap kaki kejahatan maha hebat sudah semakin dekat...

Kerosakan telah menular dalam sebuah negara yang sering diperkatakan oleh orang diluar sana sebagai "sebuah negara yang aman damai dan rakyatnya berbudi bahasa". Rasanya samada kita menipu orang atau mereka-mereka itu sengaja bercakap untuk tidak mengguriskan hati orang-orang di negara ini. Kadang-kadang kedengarannya seperti orang luar memuji-muji makanan kita seperti satay dan nasi lemak, tetapi realitinya, tak ada pulak satay dan nasi lemak ini popular dihotel-hotel negara mereka, bahkan chicken chop dan beef steak juga yang berlambak dihidang di restoran-restoran negara kita. Ada rasa macam tertipu?

Renunglah, ulang tayanglah berkali-kali dan pejamkan mata selepas itu. Gambarkan masa depan yang amat gelap, hitam pekat dan penuh kerosakan khususnya kepada pewaris-pewaris kita, anak-anak kita. Itulah kehidupan yang pasti berlaku...anak-anak anda yang comel-comel sekarang ini, akan menyelusuri lorong-lorong yang penuh kerosakan dan kejahatan. Tidak seperti datuk nenek kita dahulu, rumah pun tak perlu berpagar, tak perlu CCTV...tetapi masih boleh tidur berdengkur siang dan malam.

Perhatikan pula pemuda harapan bangsa disekeliling penggusti wanita. Kenapa tiada reaksi? Kenapa tiada simpati? Sebabnya...pemuda-pemuda dan pemudi-pemudi kita seronok tengok kisah realiti di televisyen. Mereka dah biasa melihat aktiviti-aktiviti live pelajar-pelajar akademi realiti. Dan kalau dapat melihat senario di depan mata lagi bagus!!! Biarkan...biarkan...seronok tengok depan mata. Dan pemuda-pemuda kita inilah juga, tak mustahil, bila satu hari, apabila ahli masyarakat kita diancam bahaya, maka mereka hanya duduk dan tengok sahaja. Tak mustahil, bila sekarang kes-kes rogol berlaku di tempat terlindung tetapi akan datang mungkin berlaku hanya di tengah-tengah jalan sahaja. Kerana sifat simpati sudah hilang dari diri kita. Biarkan...biarkan...

P/s: Pernah tengok kucing mengawan hanya ditepi meja restoran? Fikirkan jika sifat haiwan sebegitu dah berjangkit pada manusia. Dimana-mana, pada bila-bila masa...tiada siapa yang peduli.

Tuesday, May 24, 2011

Tempurung kelapa dan kertas fotostat...

Acap kali, ketika sedang enak melahap rezeki di kedai-kedai makan, kekadang sedang memaut erat peha ayam goreng dan mengoyakkannya dengan mulut, ada makhluk yang memberi salam berdiri disebelah...

PANTANG....!!!! Memang menjadi pantang bila aku sedang leka menikmati rezeki atau juadah (yang semestinya untuk membeli sepinggan nasi dan lauk itu adalah hasil dari penat lelah aku bekerja seharian) tiba-tiba ada yang mengganggu di masa dan ketika itu.

Maaf...! Ketika sedang makan, datanglah peminta sedekah atau peminta derma dalam keadaan yang amat sedih sekalipun...Penjejak Awan tidak akan layan. Bukan kerana bakil...bukan kerana eksyen...tapi aku sedang makan. Apa-apa hal pun jangan ganggu orang yang sedang makan. Ibarat ketika makan tiba-tiba seekor kucing berdiri memegang kaki. Amat menjengkelkan...orang berusaha seharian untuk bekerja mendapatkan wang, kemudian dibelanjakan untuk mengisi perut, dan makhluk-makhluk ini dengan sewenang-wenangnya meminta kita berhenti makan sebentar. Kadang-kadang budak-budak salesman, kadang-kadang penjual madu, kadang-kadang minta derma anak yatim...hisshhhh...mengganggu betul...

Satu hal lagi ialah pemungut derma untuk sekolah anak yatim atau membina masjid dan surau. Bukanlah Penjejak Awan anti kepada derma kearah kebaikan dan bukan juga anti kepada golongan berjubah dan berserban...tidak sesekali!!! Yang menjadi persoalan ialah, kenapa mesti berjalan kesana-sini dengan berimej soleh sambil membawa tabung atau fail? Minta maaf dari penulis Penjejak Awan...ini adalah pandangan dan pendapat individu. Ianya terlalu 'rendah' apabila dipandang. Mungkin juga ditertawakan oleh penganut lain. Dan akhirnya, itulah standard umat kita. Terlalu miskin sehingga terpaksa meminta-minta. Penjejak Awan malu pada diri sendiri.

Correct...mereka akan berkata "Kerja yang ikhlas, biar ditertawakan, biar diperlecehkan orang, namun besar pahalanya". Memang Penjejak Awan setuju sangat dengan statement itu, tetapi banyak lagi cara lain selain menyamakan tindakan dan perbuatan itu seperti peminta sedekah kehulu-hilir membawa tempurung kelapa yang dibelah dua. Kita terlalu 'suka' bila orang memandang rendah kepada kita dengan balasan menggunakan statement-statement yang klise...

Dan kepada mereka yang duduk bersila dihadapan mesin ATM sambil membaca ayat suci al-quran dikaki lima...tiap kali Penjejak Awan terserempak dengan keadaan itu, bulu roma meremamg. Bukan kerana seram, bukan kerana takut...tetapi penganut lain bersimpang-siur keluar masuk bank, menoleh dan air muka mereka mencebik. Oh....hinanya kitab suci itu...dibaca hanya kerana hendakkan derma...sudahlah pembacanya duduk bersila di lantai dan kitab suci itu dialas dengan kotak, mereka yang lalu lalang itu tegak berdiri lalu-lalang dan kekadang yang berlalu itu dengan skirt pendek yang cuma 5 inci melintasi disebelah kitab itu. Rendahnya kitab suci agamaku...


P/s: Setiap hari jumaat kita dah derma ikhlas ditabung masjid, setiap tahun kita membayar zakat atau derma semasa majlis-majlis keagamaan atau derma kepada mangsa-mangsa yang ditimpa bencana,itu lebih baik dan memadai. Kalau setakat sijil fotostat yang diletak dalam fail untuk meminta sumbangan dari kita...lebih baik jangan percaya sangat...sebab...logo halal pun kadang-kadang palsu.

Blog Widget by LinkWithin