Pengikut Awan

Tuesday, September 16, 2008

Kisah Setia Seorang Sahabat di Malam Raya

Pejam celik, pejam celik je dah nak raya. Dah lama aku tak balik kampung..Rasanya dah dekat lima tahun sejak aku sambung belajar ke luar negara.Tahun ni, dapat gak aku beraya di kampung, jumpa mak abah dan adik-adik kawan-kawan yang dah lama hilang tanpa khabar berita. Apa cerita Naim ye?Dah lama aku tak contact dia. Kalau jumpa mesti dia marah giler kat aku pasal aku tak reti-reti nak hantar surat kat dia. Dulu masa kecik main sama-sama. Bila dah belajar... lupa kawan! Raiz senyum sendirian. Terkenang zaman riang kanak-kanaknya bersama Naim.

Bas yang terhenyak-henyak dek jalan yang berlubang terasa bagai membuai sambil melayan kenangan. Mesti semua orang terkejut dengan kepulangannya. Mesti ramai awek kempung menyesal kerana mengejek dia dahulu. Maklumlah dulu Raiz 'nerd'! Selalu kena buli. Naimlah yang selalu jadi 'bodyguard'nya. Tapi sejak belajar di luar negara, dia dah berubah. Jadi kacak dan pandai bergaya. Naim juga mesti terlopong melihat perubahan dirinya. Bas yang membawa Raiz dari pekan tadi berhenti di bahu jalan. Untuk sampai ke rumah, Raiz kena berjalan kaki hampir sepuluh minit. Ketika turun dari bas, Raiz lihat ada seseorang duduk mencangkung di bawah tiang lampu. Seakan macam dikenalinya orang itu.

Raiz menghampiri. Orang itu terkebil-kebil memandangnya sambil menggigit anak kemuncut. "Wey! Siut! Aku ingat orang darat mana tadi! Engkau rupanya! Apa kau buat tepi jalan malam-malam camni?" Razi bersuara sambil memeluk Naim yang terkekeh-kekeh ketawa. "Aku tunggu kau baliklah! Wah! Orang UK ! Balik Malaysia jadi camni kau yek.. hensem nampak?" Naim menepuk-nepuk bahu Raiz. Kegembiraan jelas terbayang diwajahnya. "Biasa la! zaman beredar, manusia pun kena berubah! Mana kau tau aku nak balik?" Naim tidak menjawab soalan Raiz, cuma tersengih-sengih. Raiz memerhatikan Naim dari atas hingga ke bawah.. Ada perubahan ketara pada sahabatnya. Nampak berserabut, selekeh dan kakinya sedikit tempang. "Apa kena dengan kau ni? Apasal kaki kau tu? Lagi satu aku tengok kau ni macam ada masalah je..." tegur Raiz. Naim kelihatan murung.

"Aku memang ada masalah pun. Eh! kau ni terus balik rumah ke?" Naim mengubah topik.

"Cadangnya gitulah!"

" Ala ! singgahlah rumah aku dulu! Aku dah lama tak borak dengan kau. Banyak benda aku nak cerita. Bukan senang aku nak jumpa kau!" pujuk Naim lalu menarik tangan Raiz, dan tanpa membantah, Raiz mengikut sahaja.

"Tak apalah, malam ni aku temankan Naim! Pagi esok aku balik la! boleh terus siap untuk sembahyang raya!" kata Raiz dalam hati. "Eh? Kau duduk sorang je ke? Mana mak ayah kau?" Raiz kehairanan apabila mendapati suasana rumah Naim sunyi sepi. Malah rumah itu hanya diterangi cahaya pelita minyak tanah! Naim menarik nafas panjang.

"Inilah! nasib aku malang betul Iz,lepas kau pergi UK dulu, macam-macam terjadi kat aku! Mak ayah aku sakit, aku tak dapat sambung belajar sebab nak jaga diorang.Terpaksalah aku buat kerja kampung. Tapi mulut orang jahat betul, aku dituduhnya buat kerja-kerja mencuri. Kaki aku ni, tempang dibalun dek orang kampung la!" Terkejut Raiz mendengar cerita Naim.

"Setahun lepas tu mak ayah aku meninggal. Kau tau, takde sapa yang datang nak uruskan jenazah, kecuali mak abah kau dengan pak imam je!" Naim terisak-isak. Dia mengesat airmata dengan lengan bajunya yang lusuh. Raiz tergamam. Tidak disangka-sangka nasib Naim sebegitu malang .

"Lepas mereka meninggal, hidup aku jadi tak tentu arah. Aku tak ada tempat nak mengadu. Tiap-tiap malam raya sampailah ke hari raya, aku tunggu tepi jalan, manalah tau kot-kot kau ada balik! Pasal aku tau kau sorang je boleh dengar masalah aku. Semua orang cakap aku gila. Minah-minah kilang pulak tuduh aku nak mengenen diorang. Hishh! Aku cuma tunggu kau balik! Salah ke? Kau kawan aku dunia akhirat. Diorang apa tau?Tak peduli aku makan ke, minum ke! sakit ke! matipun diorang mesti tak ambil peduli!" Suara Naim sedikit tinggi.

"Aku mintak maaf Naim, aku betul-betul tak tau hidup kau susah sampai macam tu sekali!" Raiz menyuarakan rasa bersalahnya. Naim cuma tersenyum. "Tu la kau, pergi belajar jauh-jauh tu kenapa? Dah langsung tak dengar berita. Tengok-tengok balik dah jadi camni bergaya kau ye! Eh! Minumlah! rumah aku takde apa boleh dimakan. Ni je la!". Naim menyorong gelas berisi teh sejuk dan sepiring biskut kering. Hati Raiz sebak. Sampai begini susah hidup Naim! "Aku mintak maaf Naim, sedih sungguh aku tengok kau ni!" Suara Raiz sayu dan pilu. Naim senyum tawar. "Buat apa kau mintak maaf? Aku jadi macam ni pun bukan kau punya angkara. Dah nasib aku, nak buat camana. Kau dah balik ni, selalu-selalu la jenguk aku kat sini! ye. Esok dah nak raya,aku mintak ampun maaf dengan kau dari hujung rambut sampai hujung kaki..Halalkanlah makan minum aku selama kita berkawan. Raya ni datanglah rumah aku ye!"

Mereka berbual hingga larut malam. Raiz tak sedar hingga pukul berapa. Ketika matanya terasa berat, Naim menghulurkan bantal kecil dan tilam nipis sambil tersenyum. Terus Raiz tertidur..

"Astaghfirullah! Budak ni kat sini rupanya! Puas kita tunggu dia balik!"

Satu suara kuat menyebabkan Raiz tersentak dari tidur.Terpisat- pisat Raiz bangun."Eh? Mak!" terkejut Raiz lihat ibunya berdiri di depan bersama ayah dan ahli keluarganya yang lain. Berpakaian cantik dan kemas. "Yang kau tidur kat sini pagi-pagi raya ni kenapa? Dah takde rumah nak balik?" jerkah ayahnya.

"Eh? Kenapa pulak diorang marah ni?Raiz memerhatikan sekelilingnya. Tiada gelas berisi teh... tiada biskut kering! Hanya daun-daun kering yang bertaburan! Di tepinya terpacak batu nisan! Raiz melompat bangun. Raiz pandang sekeliling. Bukan satu sahaja batu nisan,ada dua, tiga, malah berpuluh-puluh lagi. Raiz mengelabah."Eh? Semalam saya pergi rumah Naim, mak... ayah!"

"Kenapa?? Kau tengok... dekat kubur siapa kau tidur tu!" Raiz segera mengamati tulisan jawi yang tertulis pada batu nisan. Abdul Naim bin Malik.16 September 1975 - 27 Oktober 2003! Raiz terpelangah.

"Mak! Malam tadi saya jumpa Naim mak!! Kalau dia takde, sapa yang saya jumpa malam tadi? Bulan puasa pun ada hantu ke?"

"Budak ni...bulan puasa mana ada hantu! Naim dah tak ada! Dia meninggal hari pertama menyambut puasa. Masa tu ribut, dia duduk dekat kubur arwah mak ayah dia. Ada pokok tumbang tertimpa dia. Esoknya baru orang jumpa dia, dah tak ada.." terang ibunya dengan suara pilu. Raiz tambah terkejut. Terfikirkan pengalaman malam tadi! 'bertemu' arwah Naim di malam menjelang raya.Kalau betul bulan puasa tak ada hantu! apakah yang Raiz temui semalam? Petunjuk apakah yang Allah ingin sampakan padanya terduduk disisi pusara Naim, lantas dia teringatkan kata-kata arwah malam tadi.

"Kau dah balik ni, selalu-selalu la jenguk aku kat sini! ye. Esok dah nak raya, aku mintak ampun maaf dengan kau dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkan makan minum aku selama kita berkawan. Raya ni datang lah rumah aku ye!" Serta-merta Raiz kembali duduk di sisi pusara arwah Naim lalu menadah tangan. Kalimah-kalimah ayat suci disedekahkan kepada arwah."Terima kasih kerana mengingatkan aku! semoga kau tenang dan aman di sana !"

Moralnya: Jangan lupa kawan dan rajin-rajinlah bertanya khabar


Jika Anda Terpaksa Menjatuhkan Orang Lain..,Pastikan Orang Itu Bukan Rakan Yang Pernah Menolong Menaikkan Diri Anda.

Thursday, September 4, 2008

Filem kita, tentang kita...

Malam tadi aku menonton siri 'Romeo' di TV3. Kisahnya mengenai Romeo nak join group mat rempit. Scene dimana Romeo mencuba motor salah seorang pemilik group mat rempit amat 'menarik'. Memang 'menarik dan berjaya', walaupun pelakon yang muda tu baru sekali berlakon. Romeo yang dah berusia kena kholdi dengan anak-anak yang lebih muda usianya.

Tapi kenapa mesti ada siri yang berkisar tentang mat rempit? Kalau bukan dalam siri, kita tau ada filem yang mengisahkan golongan tersebut. Aku tak nak sentuh soal si merempit tu sebab kalau ditegur, mereka akan menjawab begini:

WOI BODOH YG MANE KUTUK TU.. AKU NAK PESAN SIKIT.. ADE KER KITAORANG PAKAI MOTOR BAPAK KORANG AR?? ADE KITAORANG JATUH CALL BAPAK KORANG?? ADE KITAORANG PAKAI DUIT BAPAK KORANG?? LANTAK KITAORANG LA NAK BUAT APE2 PON. BUKAN NYER AKU SURUH BAPAK KORANG YG WHEELY.. BODOH.. KALAU X SUKA JGN TENGOK LA KAMBING.. KALAU KORANG X PUAS HATI MARI LA...

So...aku tak 'berani' nak tegur mereka. Cuma yang aku heran disini tentang golongan seni. Kenapa mesti guna imej motorsikal untuk ditonton oleh budak tadika, budak darjah satu, budak nak ambik UPSR dan juga perempuan yang baru belajar pakai Kotex...? Jawapan standard yang biasa kita dengar "Kita pembuat filem ingin menyedarkan masyarakat dan mendidik masyarakat tentang bahaya merempit dan juga dadah".

Hampeh!!!...iye ker???...tapi watak negatif yang ditonjolkan tu hebat-hebat giler, berpakaian mahal, duit banyak, handsome giler, ada girlfriend lawa nak mampus...dan golongan baik biasernya hidup susah, berkain pelekat dan dilakonkan oleh pelakon yang dibayar murah.

Sebenarnya tak ada istilah mendidik kalau ditonjolkan perkara macam tu. Otak budak-budak sekarang meresap yang negatif lebih cepat dari yang positif. Korang tunjuklah yang watak jahat akan mati accident atau kena bunuh, tapi mereka yang menonton akan cuba menjadi lebih berani dari pelakon. Mereka jugak akan kata "Bodoh betul pelakon yang jadi mat rempit tu, ada ker bawak motor macam tu..?? nampak sangat tak study skill betul-betul."

Ada banyak icon atau golongan yang boleh dimainkan dalam filem. Kita kurang filem yang menonjolkan golongan genius, kita macam langsung tak ada filem tentang angkasa lepas malah kita susah nak beli tiket filem tempatan tentang kejayaan ahli sukan. Kalau ada pun, mungkin cuma 10% sahaja yang ditunjukkan, 50% lagi cinta dan 40% lagi lawak.

Kalau kisah cinta yang berleluasa, maka budak-budak sekolah pun banyak ler berangan dalam kelas nak bercinta ala-ala artis. Kalau melawak itu adalah industri, memang patut pun kalau kekadang kat mesjid, orang boleh ketawa sampai berair bijik mata.












p/s: Sebab tu kot orang tengok filem barat. Alang-alang nak berfikir cara barat, lebih elok tengok cerita barat. Filem kita nie kalau scene accident, sure pakai kereta Fiat kotak yang buruk tu jer...

Wednesday, September 3, 2008

Menjaga pemakanan semasa berpuasa

Menyambut ketibaan bulan puasa, mungkin tidak keterlaluan jika dianggap sebagai sebahagian daripada perayaan, terutamanya apabila dikaitkan dengan makanan.

Pelbagai jenis makanan dan kuih-muih boleh ditemui. Selain itu, kaum lain juga lebih berpeluang untuk mengenali hidangan tradisi masyarakat Melayu yang sukar ditemui melainkan bulan puasa.

'Pesta makanan' ini bukan sahaja boleh dilihat di pasar-pasar malam atau bazar Ramadan yang seakan cendawan tumbuh selepas hujan, tetapi juga di hotel-hotel mewah yang menawarkan bufet Ramadan yang tidak terkira banyaknya dan tentunya menyelerakan.

Dalam keseronokan kita memenuhi selera, ramai di kalangan kita yang mengalami masalah gangguan sistem pencernaan disebabkan oleh cara pemakanan yang tidak sihat.

Makan secara berlebihan amat lazim berlaku semasa berbuka puasa. Setelah sehari suntuk berpuasa, sesetengah individu tidak dapat menahan rasa lapar dan makan secara tidak terkawal.

Perbuatan ini bukan sahaja membebankan dan menjejaskan sistem penghadaman, malah mengakibatkan seseorang itu dibelenggu masalah sistem pencernaan, seperti kembung perut, pedih ulu hati, cirit-birit, sembelit dan sebagainya. Bazar Ramadan atau gerai-gerai makanan di tepi-tepi jalan dengan makanan yang tidak ditutup akan mendedahkan makanan kepada pencemaran, seterusnya mendedahkan pelanggan kepada risiko keracunan makanan.

Terdapat juga di kalangan peniaga yang tidak menitikberatkan aspek kebersihan dalam proses penyediaan makanan.

Pelanggan mungkin mengalami cirit-birit akibat termakan hidangan yang tidak disediakan dengan cara yang bersih. Jenis makanan yang diambil juga merupakan salah satu faktor penting bagi kesihatan sistem pencernaan.

Makanan yang tinggi dengan karbohidrat ringkas dan lemak, tetapi rendah dengan serat boleh mengakibatkan masalah sembelit.

Masalah sembelit biasanya merujuk kepada kesukaran membuang air besar. Kurangnya pengambilan air dan ditambah dengan kurangnya aktiviti fizikal semasa berpuasa akan meningkatkan risiko sembelit.

Selain sembelit, tidak kurang juga yang mengalami masalah kembung perut. Punca utama yang mengakibatkan perut berangin adalah disebabkan oleh penghasilan gas yang berlebihan akibat daripada sistem pencernaan yang kurang baik.

Makanan yang tidak sihat turut menjejaskan sistem penghadaman dan menggalakkan pertumbuhan bakteria berbahaya dalam usus dan seterusnya menghasilkan angin yang berlebihan.

Di samping itu, cara makan yang gelojoh semasa berbuka puasa juga boleh menyumbang kepada masalah ini dengan kemasukan angin yang berlebihan ke dalam perut.

Usus menjadi habitat kepada berjuta-juta mikroorganisma (flora usus) dan ratusan spesiesnya. Kebanyakan daripada bakteria ini terdiri daripada bakteria bermanfaat dan berfungsi dalam proses sintesis vitamin, perangsang sistem imun dan sistem pertahanan badan terhadap virus dan bakteria berbahaya. Keseimbangan bakteria berbahaya dengan bakteria bermanfaat perlu dikekalkan bagi membolehkan sistem pencernaan berfungsi secara normal.

Namun, keseimbangan ini boleh terganggu disebabkan oleh pemakanan yang tidak sihat, pengambilan ubat-ubatan seperti antibiotik yang kerap, penyakit dan juga peningkatan usia. Untuk menggalakkan sistem usus yang sihat, probiotik iaitu bakteria hidup yang bermanfaat boleh diamalkan di sepanjang tempoh berpuasa bagi menangani masalah pencernaan dan kesihatan usus secara amnya.

Antara amalan pemakanan yang boleh diamalkan di sepanjang Ramadan, termasuklah:

* Diet seharusnya lebih ringkas. Ambil makanan yang lambat dicerna seperti bijirin penuh, oat, kekacang dan lentil semasa bersahur.

* Berbuka puasa dengan kurma dan jus buah-buahan untuk tenaga segera.

* Pilihlah makanan yang berserat tinggi seperti sayur-sayuran berdaun hijau dan buah-buahan untuk mencegah sembelit dan memudahkan penyingkiran bahan kumuh.

* Elakkan makanan goreng dan pedas untuk mengelak masalah pencernaan dan iritasi perut.

Tuesday, September 2, 2008

SALAM RAMADHAN

Salam Ramadhan untuk pengunjung blog ini (dan blog-blog aku yang lain). Kepada rakan-rakan yang setia dengan blog ini, aku doakan kesejahteraan untuk anda semua. Moga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya... Amin.

Ingat-ingat semula Ramadhan yang lalu... dimana kita selalu lupa yang kita selalu membazir...nampak itu nak beli, nampak ini nak angkat...

Ingat-ingat semula... di atas meja ada air tebu, air milo, karipap sadin, popia basah, ayam panggang, air asam, sayur kobis, sup ikan haruan dan sambal telur... tapi yang kita ambil cuma nasi, sayur kobis dan sedikit ayam panggang. Selebihnya kita harap-harap akan dimakan selepas tarawikh atau waktu sahur. Tapi biasanya tidak... ianya akan dibuang begitu sahaja... dan kita akan berulang ke pasar Ramadhan semula, keesokan petangnya.

Intai-intai harga...air tebu satu jag dah mencecah RM4 sekarang ni. Fikir-fikirkanlah sebelum Hari Raya menjelang. Kalau punya anak sedara yang ramai, berapa nak di sedekahkan tahun ini? RM1 atau RM2??? Kalau cuma ada 3 orang anak sedara tak mengapalah...


Tapi orang kita memang tak pernah nak berubah...


Selamat Berpuasa...

Blog Widget by LinkWithin