Pengikut Awan

Saturday, February 5, 2011

Sabtu tanpa plastik...

Tiba hari sabtu...

Apa yang terngiang-ngiang dalam kepala dan terbayang di mata? Hmm...masing-masing punya pandangan yang berbeza. Hari sabtu ini, secara automatiknya, sudah seperti terpahat, Hari Sabtu adalah 'Hari Tanpa Beg Plastik'. Ada sesiapa yang tak kesah selain dari Aiman???


Sepatutnya, bukan hari sabtu sahaja kita praktiskan penjagaan alam sekitar ini. Ia harus dipraktiskan dalam amalan setiap hari. Yup..bagi sesetengah atau sesuku...penggunaan beg plastik adalah perkara kecil. Tak perlu diperbesar-besarkan, tak perlu bergaduh hingga menghentak-hentak meja, tak perlu bermasam muka dan putus saudara. Ini kerana, plastik sampah bukanlah penyebab H1N1 bagi sesetengah orang, plastik sampah bukanlah penyebab gaji bulanan kita dipotong dan lebih hebat lagi kalau plastik sampah itulah penyebab kejatuhan kerajaan seperti di Mesir...Tak payah jauh-jauh laa...bila hujan turun, longkang tersumbat, air naik 2 3 kaki, apa punca air longkang tersumbat?(Yelah, mungkin ada yang kata sampah lain pun banyak, cubalah turun dalam parit, asingkan sampah-sampah tu, kira laa material apa yang banyak dijumpai)

Tapi berapakah jumlah beg plastik yang telah diturunkan pangkat sebagai beg sampah yang telah menimbun dalam dunia ini? Berapa banyakkah yang anda sendiri gunakannya dalam masa seminggu...darabkanlah setahun dan darabkanlah mengikut usia anda dan darabkan pula jumlah penduduk kampung, taman perumahan, flat dan kondo-kondo seluruh negara....

Istilah plastik merangkumi produk polimer sintetik atau semi-sintetik. Ia terbentuk daripada kondensasi organik atau penambahan polimer dan boleh juga terdiri daripada bahan lain untuk meningkatkan ketahanan atau ekonomi. Plastik adalah polimer; rantai-panjang atom mengikat satu sama lain. Rantai ini membentuk banyak unit molekul berulang, atau "monomer". Dan oleh kerana ini, sifat plastik ini tak akan lupus hampir sampai bila-bila.

Dan mungkin kita juga terlupa, di hari sabtu ini, di kala kita menyokong dengan rela (atau mencebik muka), kita 'menapau' (tapau) nasi bungkus bawak balik ke rumah dengan menggunakan bekas polisterin. Hmmm...pastinya anda pernah terbaca info bahaya menggunakan bekas polisterin ini. Nasi atau lauk yang panas akan terpeluwap di dinding bekas kemudian akan bercampur dengan makanan. Hmmm....patutlah orang dahulu kala panjang umurnya dan awet mudanya...

Oleh kerana itu, apa kata, setiap sabtu kita juga mengamalkan gaya hidup sihat tanpa plastik. Makanlah dengan nasi dan lauk yang ditadah atau dibungkus dengan daun pisang...Ya! Daun Pisang. Selain mempunyai aroma yang menarik, ianya mesra alam.

Mulakan pagi anda bersarapan dengan nasi lemak daun pisang. Enak bukan? Berbanding nasi lemak dalam bekas tapau...

Kemudian jika anda ke pasar. Belilah tempe 3 4 keping. Pastikan tempe yang berbalut dengan daun melinjo atau daun pisang. Jangan beli tempe plastik. Jika minat makan tapai, belilah tapai pulut atau ubi yang dibalut dengan daun pisang juga.

Anda boleh makan tempe itu samada digoreng atau masaklah apa sahaja yang anda suka untuk tengahari. Jika kemalasan hari sabtu menimpa, singgah makan di kedai daun pisang yang biasanya diusahakan oleh india muslim. Makan pisang pula sebagai pencuci mulut. Minum petang, jangan lupa tapai yang anda beli pagi tadi atau belilah lepat pisang atau kuih koci atau singgah sebentar di Ayer Hitam dimana di sana, tiap-tiap hari ada jual lemang (yang dibalut dengan daun pisang). Dan untuk santapan malam, anda boleh singgah dimana-mana pasar malam yang dibuka pada petang sabtu dan cari pula Nasi Ambang (Nasi Ambeng) iaitu makanan popular masyarakat jawa. Makanlah dengan jiwa yang tenang tanpa mencemarkan alam sekitar sambil mendengar 'Memori Daun Pisang' sebagai halwa telinga.

Nah...bukankah anda telah berjaya mengharungi kehidupan seharian tanpa beg plastik!!! Selamat mencuba...

P/s: Jika musim hujan turun, gunakan daun pisang untuk menutup kepala kerana payung moden masih menggunakan plastik. Jika anda tak keberatan, bolehlah gunakan payung kubur sebab ia dibuat dari kertas dan mesra alam. Ada berani???

0 TIUPAN ANGIN KE AWAN:

Blog Widget by LinkWithin