Pengikut Awan

Friday, January 14, 2011

Siapalah aku...


Tidak tahu di mana silapnya, atlet paralimpik negara mendakwa mendapat layanan kelas kedua media berikutan tiada hebahan mengenai kejayaan kontinjen itu ketika mengungguli Kejohanan Sukan Para Asia 2010 di Guangzhou, China, 12 Disember lalu.

Malah, ketika kejohanan berlangsung hingga 19 Disember, kontinjen paralimpik Malaysia mendakwa dianak tirikan berikutan tiada liputan media, apatah lagi siaran langsung yang membolehkan rakyat tempatan menonton aksi cemerlang atlet.


Penaung Majlis Paralimpik Malaysia, Tun Jeanne Abdullah melahirkan rasa kecewa apabila mengenangkan atlet paralimpik tidak memperoleh perhatian seperti mana diterima atlet negara yang beraksi di temasya sama.

“Kami kecewa. Tiada rakyat Malaysia mengetahui pencapaian atlet paralimpik kerana tiada siaran langsung sedangkan ketika atlet Sukan Asia beraksi, anda memberi sepenuh tumpuan, liputan bermula daripada majlis pembukaan hingga selesai.


“Tak cukup itu, setiap perlawanan membabitkan Malaysia, ditayang secara langsung, namun Sukan Para Asia tiada. Kenapa berlaku begitu? Saya mahu rakyat melihat atlet buta beraksi dan yang tiada kaki boleh bermain ping pong. Malangnya mereka tak dapat menonton aksi itu,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran program Hutan Kita @ Paralympic Park di Taman Bukit Jalil, semalam. Turut menemaninya, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.


Hadir sama, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Datuk Zainal Abu Zarin, Chef-de-Mission kontinjen negara ke Kejohanan Sukan Para Asia 2010, Datuk Dr Ramlan Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Landskap Malaysia, Datuk Ismail Ngah.

Jeanne yang juga Pengerusi Landskap Malaysia percaya penduduk tempatan sebenarnya mahu mengetahui prestasi atlet paralimpik, terutama di peringkat antarabangsa.



“Orang kita nak tahu tapi mereka tak pasti saluran mana nak dapat sedangkan kawan saya di Melbournepun dapat menyaksikan Sukan Para Asia secara langsung apabila dia menelefon menyatakan melihat saya di televisyen,” katanya.

“Tapi di Malaysia, saya tak tahu kenapa tiada siaran langsung atau laporan berterusan, saya tiada jawapan itu. Namun, kalau kita percaya terhadap 1Malaysia, maka 1Malaysia patut untuk semua, termasuk orang kurang upaya,” katanya.


Skuad paralimpik negara berjaya memenangi 45 pingat merangkumi sembilan emas, 13 perak dan 23 gangsa, sekali gus meletakkan negara di kedudukan keenam dalam senarai pungutan pingat yang disertai 41 negara.


Program Hutan Kita @ Paralympic Park diadakan bertujuan mengiktiraf kejayaan atlet paralimpik yang cemerlang di kejohanan lalu dengan 70 pokok hutan tropika ditanam khas untuk mereka sebagai tanda penghormatan dan dinamakan mengikut nama masing-masing.

Petikan Harian Metro, Jumaat, 14 Januari 2011

P/s: Mungkin terlalu banyak rancangan realiti kot... Tak tau dah nak dislotkan kat mana. Rancangan lain boleh kaut banyak duit, stesen tv boleh kaya, syarikat telekomunikasi boleh kaya, tokey topup pun boleh kaya. Paralimpik??? nak suruh orang kita tonton?? Parking untuk OKU pun diaorang bedal letak kereta. Orang kita nie semuanya suka berpura-pura jer...jumpa OKU pun mungkin dimajlis berbuka puasa. Setahun sekali, itupun kalau masuk paper atau masuk TV.

0 TIUPAN ANGIN KE AWAN:

Blog Widget by LinkWithin